Cari Nota Dengan Cepat...!

Tuesday, October 25, 2011

Kerjaya Berkaitan PSV Di Masa Hadapan dan Kepentingan PSV

Kini beratus-ratus jenis kerjaya yang berkaitan dengan Seni Visual boleh diceburi oleh para pelajar yang berminat dalam bidang tersebut.

Antara kerjaya yang berkaitan dengan Seni Visual ialah seperti pengiklanan, pelukis illustrasi, artis multimedia, perekabentuk grafik, perekabentuk industri, perekabentuk dalaman, pelukis animasi, perekabentuk tekstil, percetakan, desktop publisher, perekabentuk laman web, dan sebagainya.

Kepentingan PSV Kepada Kanak-Kanak

Aspek Kognitif: mengembangkan daya kognitif/melatih kanak-kanak berfikir/menyelesaikan masalah membuat penilaian/keputusan

Aspek Fizikal: menggunakan alatan/bahan memberikan latihan kepada pergerakan tangan – kordinasi tangan serta mata

Aspek Kreativiti: melibatkan proses/menyelesaikan masalah/eksplorasi/eksperimentasi dalam penghasilan karya.
Aspek Persepsi: meningkatkan/menajamkan penggunaan pacaindera dan deria.

Aspek Sosial dan Emosi: memberi peluang kanak-kanak berinteraksi/membina keyakinan diri/bertoleransi/berkerjasama dalam kumpulan.


sumber: OUM (Dr. Sajap Maswan)

Thursday, October 13, 2011

Contoh Laporan Kekuatan dan Kelemahan Projek Kewarganegaraan Yang Telah Dijalankan (PSK)

Kekuatan Projek Kewarganegaraan

Terdapat pelbagai kebaikan dan kekuatan projek kewarganegaraan ini semasa dijalankan. Melalui projek ini:

1. Dapat membina pengetahuan baru dan pengetahuan am dalam diri murid tentang pemimpin negara khususnya Perdana Menteri Malaysia. Projek ini memerlukan murid mencari bahan daripada buku-buku, majalah-majalah, akhbar dan internet berkaitan tokoh Perdana Menteri-Perdana Menteri Malaysia. Murid dilatih untuk mencari dan mengolah bahan secara kendiri serta tidak terlalu bergantung kepada bahan yang diberi oleh guru.
2. Projek ini menjadikan murid lebih kerap berkomunikasi dan berbincang sesama rakan dalam kelas. Setiap murid diberi peranan dan tugas untuk dilakukan dan mereka perlu memberi kerjasama yang baik untuk memastikan projek yang dibuat berjalan lancar. Kemahiran komunikasi murid diasah dan ditingkatkan.
3. Menjadikan masa lapang murid ketika di sekolah atau di rumah terisi dengan aktiviti berfaedah. Projek ini memerlukan murid mencari bahan berkaitan tokoh perdana menteri Malaysia daripada bahan bercetak seperti akhbar dan majalah yang terdapat di rumah. Selain itu, secara tidak langsung murid membaca bahan tersebut dan menimba ilmu pengetahuan baru.
4. Projek Kewarganegaraan ini berjaya menambah lagi kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan. Murid bergerak aktif dan memeriahkan suasana sambutan Bulan Kemerdekaan.
5. Projek ini telah memberi pengalaman kepada guru pelatih untuk merancang dan melaksanakan projek di sekolah daripada sebelum pelaksanaan, semasa pelaksanaan dan selepas pelaksanaan. Contohnya penghasilan kertas kerja dan menguruskan murid semasa projek dilaksanakan.
6. Memberi pendedahan kepada guru pelatih bagaimana mengurus dan mengawal murid semasa sesuatu aktiviti atau projek berjalan. Selain itu, guru pelatih belajar bagaimana untuk menulis kertas kerja, mencari sumber kewangan, membahagikan tugas, merancang masa dan sebagainya yang berkaitan pengurusan sesuatu aktiviti projek.
7. Memberi peluang kepada guru pelatih mengaplikasikan ilmu teori yang dipelajari di IPG dalam situasi sebenar di sekolah.


Kelemahan Projek Kewarganegaraan

Terdapat beberapa kelemahan dalam projek kewarganegaraan ini semasa dijalankan. Antaranya ialah:

1. Kekurangan pengalaman guru pelatih dalam mengurus sesuatu projek menyebabkan projek kewarganegaraan ini mengambil masa yang agak lama untuk dimulakan.
2. Pengurusan masa yang kurang cekap. Terdapat aktiviti yang tidak dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan kerana bertembung dengan aktiviti sekolah. Terdapat juga masalah apabila murid tidak membawa bahan projek ke sekolah pada hari aktiviti. Hal ini menyebabkan segelintir murid ketinggalan dalam proses menyiapkan portfolio projek berbanding murid lain.
3. Guru kerap membantu murid seperti memberi bahan. Contohnya bahan-bahan bercetak dan bergambar. Hal ini menyebabkan murid kurang mencari sendiri bahan dan terlalu bergantung kepada guru. Guru sebenarnya hanya berperanan sebagai pembimbing.
4. Terdapat beberapa orang murid yang kurang bersungguh dalam melaksanakan projek. Mereka bersikap sambil lewa dan tidak tidak mengambil berat. Mereka perlu diberi pengawasan yang lebih dan arahan yang kerap.
5. Faktor kekurangan alat pencetak menyebabkan murid sukar menghasilkan bahan untuk portfolio mereka. Bantuan guru diperlukan untuk mencetak bahan bertulis atau bergambar. Hal ini melambatkan proses menyiapkan portfolio murid.
6. Pemilihan waktu aktiviti yang kurang sesuai seperti waktu rehat dan waktu selepas P&P. Murid dalam keadaan letih dan kurang bersedia menyebabkan murid kurang bersemangat menjalankan aktiviti.


Cadangan Penambahbaikan

1. Aktiviti yang dijalankan kurang melibatkan luar kelas. Guru boleh membawa murid ke perpustakaan atau kawasan sekolah untuk mencari bahan berkaitan tokoh perdana menteri Malaysia.
2. Memandangkan murid tinggal di kawasan kampung, bahan seperti akhbar di rumah mereka kurang. Guru boleh membawa akhbar sendiri atau milik sekolah untuk diberikan kepada murid. Murid boleh mencari bahan dengan mudah dan banyak pilihan.
3. Guru boleh membawa murid ke makmal komputer untuk mencari bahan daripada internet. Bahan daripada internet lebih pelbagai dan menarik serta mempunyai unsur multimedia.
4. Guru perlu memberi amaran tegas sekiranya murid gagal membawa bahan aktiviti dan kurang memberi kerjasama kepada ahli kumpulan.
5. Guru boleh membawa bahan multimedia berkaitan tokoh perdana menteri Malaysia semasa aktiviti berjalan untuk mengelak suasana bosan murid.
6. Guru perlu meminta panduan dan bimbingan daripada guru pembimbing praktikum dengan lebih kerap agar perancangan dan pelaksanaan projek berjalan dengan lebih baik.
7. Guru boleh mencari contoh portfolio untuk ditunjukkan kepada murid sebagai panduan.

Tuesday, October 4, 2011

Kata Ganda dan Bentuk Kata Ganda

Proses penggandaan dalam bahasa melayu ialah proses yang menggandakan (mengulangi) kata dasar.
Dalam bahasa melayu terdapat tiga jenis penggandaan iaitu :
Penggandaan penuh (melibatkan seluruh kata dasar)
Penggandaan separa (melibatkan sebahagian kata dasar)
Penggandaan berentak (berdasarkan rentak bunyi tertentu)

Penggandaan Penuh

Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar samaada mengandungi imbuhan ataupun tidak.
Penggandaan penuh yang terjadi pada kata dasar yang tidak ada imbuhan menggandakan seluruh kata dasar.Contohnya :
~ negara-negara ~ guru-guru
~ pulau-pulau ~ mandi-mandi
~ buku-buku ~ suku-suku
~ cantik-cantik ~ minum-minum

Penggandaan Separa

Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja.
Kata dasar boleh merupakan kata tunggal atau kata terbitan.
Penggandaan separa boleh berlaku dihadapan atau dibelakang kata dasar.
Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar tunggal lazimnya melibatkan pengulangan suku kata pertama dan letak gandaannya pada bahagian hadapan kata dasar.

-lelaki
-jejari
-sesiku
-rerambut
-lelangit

Penggandaan Berentak

Ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu.
Dalam pergandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah.Berdasarkan pengubahan dan pengulangan bunyi-bunyi demikian,maka penggandaan berentak boleh dibahagikan kepada tiga jenis :
Pergandaan berentak pengulangan vokal
Pergandaan berentak pengulangan konsonan
Pergandaan berentak bebas

Penggandaan Berentak Pengulangan Vokal:

Penggandaan yang mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi vokal tertentu,iaitu terdapat ciri-ciri keharmonian vokal.Contohnya :
~ sayur-mayur
~ kuih-muih
~ selok-belok
~ lauk-pauk
~ gotong-royong

sumber rujukan: Tatabahasa Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...